Salam.
Jam menunjukkan 2.06AM dan mata aku tak lekang dari telefon. Tapi cukup lama aku bukukan dalam hati aku. Sekarang aku mahu luahkan.
Ada beberapa orang bertanya, kenapa aku kurang menulis di sini. Inilah alasan aku.
Banyak karya aku simpan dalam buku buruk. Buku buruk inilah aku panggil "jurnal". Segala isi hati, ilham & buah fikiran aku conteng di situ. Sempurna atau tidak, itu cerita kedua.
Dalam jurnal aku, ada cerpen, puisi & prosa. Tak ramai yang tahu, aku sebenarnya minat sastera sejak aku sekolah rendah lagi. Lagi terkejut bila orang tahu aku tulis puisi Bahasa Melayu, sebab hampir semua karya aku dalam Bahasa Inggeris.
Seperti karyawan lain, Pak Sako, Haruki Murakami, Nizar Qabbani, Yukio Mishima, Chairilanwar & lain-lain, aku juga berhasrat untuk membukukan karya aku satu hari nanti.
Pernah aku menjadi penulis freelance seketika, mengulas politik semasa sewaktu aku menganggur. Dari pengalaman itulah baru aku merasa, sukarnya menjadi seorang penulis.
Hari demi hari, terus berlalu. Cita-cita aku menjadi komitmen utama. Aku mahu berjuang untuk negara. Hasrat aku sejak di bangku sekolah untuk membukukan karya aku sendiri tertunggak sehingga aku bekerja hari ini.
Perasaan blogging dan menulis amatlah lain bagi aku. Selalunya aku akan tulis dulu dalam jurnal, baru aku publish dekat sini. Dah lama juga aku simpan blog ini, tak ramai yang teruskan untuk kekalkan blog sendiri. Cukup tahun depan kalau aku simpan blog ini lagi, kiranya sudah genap 10 tahun aku luahkan isi hati aku dekat sini. Kalian boleh lihat sendiri kematangan penulisan aku sejak 2009 hingga hari ini.
Tapi lama kelamaan, aku jumpa ketenangan bila aku tulis atas jurnal aku. Mulanya aku fikir, "post nanti sajalah". Tangguhan ini lama kelamaan menjadi satu tabiat sampai aku persoalkan "eh, buat apa aku post?"
Hasrat murni aku blogging adalah untuk "memberi harapan & buah fikiran". Waktu itu aku sedih sangat & tak ada orang nak bercerita. "Bakat" dah ada, tinggal nak tulis saja.
Sayangnya, "bakat" yang aku ada inilah tidak dikembang sepenuhnya dulu. Mungkin kurang didikan, tiada mentor atau editor yang boleh memberi sepatah dua kata. Tak kisah lah kritik, kutuk & apapun. Janji ilmu. Tapi barangkali aku harus jadi seperti Murakami, yang bukukan karyanya dalam lingkungan 29-30 tahun. Untuk menjadi penulis yang hebat, kau perlukan pengalaman hidup. Dan pengalaman hiduplah satu perkara yang "mahal" untuk aku ada. Tapi itu dulu. Sekarang mungkin aku lebih bersedia. Cuma masa menulis aku amatlat suntuk sekarang.
Aku akan simpan blog aku, sebab aku percaya kalau jasad manusia itu mati, karyanya tidak. Karya aku akan hidup 1000 tahun.
Doakan saja aku sihat & berjaya di UK. Doakan saja aku mampu keluarkan buku satu hari nanti.
Asyraf Amir. 20180903.
Aucun commentaire:
Enregistrer un commentaire